Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Aku bersaksi, bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah. Semoga kesejahteraan dan keselamatan senantiasa tercurah kepada Nabi Muhammad s.a.w., ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

"Maha suci Engkau, sesungguhnya kami tidak mengetahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." -Al-Baqarah 2: 32

Tuesday, March 5, 2013

Usrah STAR66 sesi ke 20 - Laporan

Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib

AlhamdulilLah Usrah STAR66 sesi ke 20 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 2 Mac 2013 di Bilik Balqis, Masjid Al Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dengan Sdra Ahmad Puzi Rais sebagai tuan rumah.

Usrah ini diketuai oleh Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib.


Ahli-ahli STAR66 yang hadir
Seramai 12 orang telah menyertai Usrah kali ini, ia-itu:
  1. Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib
  2. Sdra Azlan Abdullah dan isteri
  3. Sdra Ahmad Darus dan isteri
  4. Sdra Che Yusoff dan isteri
  5. Sdra Ahmad Puzi dan isteri
  6. Sdra Rusli Mohd
  7. Sdra Abd Hamid Shafie
  8. Sdra Che Abd Rahim Che Ahmad

Para isteri yang hadir
Bacaan Al-Quran

Semua peserta lelaki dan dua peserta wanita telah mengambil peluang untuk membaca Surah 88 Al Ghaasyiyah dengan panduan tajwid oleh Naqib.


Sdra Azlan memperdengarkan bacaan
diperhatikan oleh Che Rahim
Sdra Hamid membaca dan
Sdra Che Yusoff khusyu' mendengar
Para isteri juga memperdengarkan bacaan
Naqib kemudian menerangkan maksud isi kandungan Surah ini.

Surah Makkiyyah ini diturunkan selepas Nabi s.a.w memulakan dakwah secara terang-terang di Makkah.  Tumpuan dakwah Nabi s.a.w. pada masa itu adalah Tauhid dan Alam Akhirat.  Penduduk Makkah pada masa itu tidak mengambil endah seruan Nabi s.a.w. mengenai kedua-dua perkara ini.

Isi kandungan Surah Makkiyyah ini terbahagi kepada dua bahagian besar.

Bahagian pertama menerangkan keadaan penghuni neraka dan penghuni syurga.

Untuk menyedarkan penduduk Makkah tentang kesesatan mereka, dalam ayat pertama mereka ditanya: "Sudah sampaikah kepadamu berita tentang hari kiamat?"  Ayat ini diikuti dengan penjelasan bagaimana, pada hari kiamat, manusia akan dibahagikan kepada dua kumpulan berasingan dan menerima balasan berbeza.

Satu kumpulan akan pergi ke Neraka dan menerima seksaan. Mereka akan tunduk dengan wajah yang muram dan merasa hina.  Mereka dipaksa bekerja keras dan bersusah payah.  Mereka menderita bakaran api neraka yang sangat panas.  Mereka minum dari mata air yang menggelegak panasnya dan hanya makan pokok-pokok yang berduri yang tidak menghilangkan sedikit pun kelaparan mereka.

Kumpulan yang kedua akan masuk Syurga.  Pada hari itu wajah-wajah mereka akan berseri-seri.  Mereka berpuas hati dengan balasan amal usaha mereka yang baik di dunia.  Mereka berada dalam syurga yang tinggi dan tidak mendengar sebarang perkataan yang sia-sia.  Di dalam syurga itu ada mata air yang mengalir dan pelamin-pelamin yang tinggi tempatnya.  Ada gelas-gelas minuman disediakan, bantal-bantal sandaran tersusun dan permaidani-permaidani terhampar.

Bahagian kedua Surah ini pula menganjurkan manusia untuk mengamati alam semesta.

Setelah disedarkan tentang kesesatan mereka mengenai Tauhid dan Alam Akhirat, persoalannya ialah
  • Tidakkah mereka memerhatikan perkara-perkara dan benda-benda yang mereka alami dalam kehidupan mereka setiap hari?
  • Tidakkah mereka memikirkan bagaimana unta (yang mereka bergantung sepenuhnya untuk segala aktiviti kehidupan mereka di padang pasir) diciptakan untuk memenuhi seluruh keperluan mereka?
  • Dan apabila mereka bermusafir di atas unta mereka, tidakkah mereka melihat dan memikirkan bagaimana langit ditinggikan di atas mereka, bagaimana gunung-gunung ditegakkan di hadapan, kiri, kanan dan belakang mereka, dan bagaimana bumi dihamparkan dibawah mereka? 
  • Adakah semua kejadian ini boleh terjadi tanpa kemahiran dan kuasa yang Maha Pencipta?
Sekiranya mereka mengakui Allah yang Maha Berkuasa yang mencipta segala-galanya, mengapakan mereka teragak-agak untuk mengakui bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menghidupkan semula manusia di hari Akhirat dan mencipta Syurga dan Neraka?


Selepas penjelasan tentang hakikat kebenaran ini dengan hujah-hujah padu dan rasional, Surah ini mengubah tumpuan dari orang-orang kafir kepada Nabi s.a.w. dan Baginda diberitahu: "Sekiranya mereka tidak mengakui Kebenaran, mereka akan terus begitu.  Engkau bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.  Engkau tidak boleh memaksa mereka menerima dan mempercayai ajaran Islam.  Tugas engkau hanyalah memberi peringatan, kerana engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan.  Akhirnya nanti mereka akan kembali kepada Allah. Kemudian sesungguhnya Allah akan membuat perhitungan ke atas amal mereka dan menyeksa mereka yang tidak percaya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya."


Hadis 40 Imam An-Nawawi

Selepas itu perbincangan tentang Hadis ke 13 dari Hadis 40 Imam An-Nawawi dijalankan.

Makna hadis:

Daripada Abu Hamzah Anas ibn Malik r.a., khadam RasululLah s.a.w., daripada Nabi s.a.w., Baginda bersabda: "Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."
    - Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim

Pokok perbincangan dan pengajaran hadis:
  • Tidak sempurna iman (belum mencapai hakikat iman) seseorang itu jika ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.   Kasih sayang dan persaudaraan adalah antara tuntutan iman.  Iman seseorang muslim itu tidak akan sempurna sekiranya dia ada menyimpan perasaan benci terhadap mana-mana saudaranya yang seagama.
  • Mencintakan kebaikan kepada seseorang muslim lain adalah satu cabang iman yang wajib.  Kedudukan kasih sayang dan persaudaraan dalam Islam amatlah tinggi dan penting. Ia adalah kekuatan kedua bagi umat Islam yang dapat mengatasi kekuatan senjata.
  • Maksud mengasihi saudara disini adalah dalam perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan perkara-perkara yang dibenarkan oleh Islam; bukannya dalam perkara-perkara haram dan kemaksiatan.
  • Contoh 1: Ibnu Abbas ketika menterjemahkan Al-Quran menginginkan agar manusia semuanya memahami Al-Quran sebagaimana beliau faham.
  • Contoh 2: Imam Syafi'e mengharapkan agar orang ramai yang mempelajari ilmu darinya, akan mengajarkannya pula kepada orang lain.  Ia-itu beliau cintakan kebaikan untuk orang lain. 

Perkembangan Usrah STAR66

Sdra Azlan kemudiannya menimbulkan pemerhatian beliau tentang kemajuan Usrah STAR66 dimana kelihatan sambutan yang kian menurun.  Beliau juga memberitahu ada cadangan dalam Facebook STAROBA untuk mengadakan sesi Usrah  untuk ahli-ahli STAROBA yang berminat.

Sdra Azlan mencadangkan supaya penyertaan Usrah STAR66 ini diluaskan kepada ahli-ahli STAROBA.  Nama Usrah ini pula boleh diubah kepada Usrah STAROBA.  Cadangan ini diterima baik oleh peserta-peserta yang hadir dalam Usrah STAR66 Sesi ke 20 ini.  Sdra Azlan akan mengambil tindakan susulan yang diperlukan.


Selepas tamat perbincangan tuan rumah telah menjemput semua peserta untuk menjamu selera juadah-juadah yang disediakan.

Majlis diakhiri dengan solat Zuhr bersama-sama jemaah Masjid Al Ghufran di dewan solat utama masjid.


JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Muhamad Fuad kerana telah terus menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ke 20 ini.


InsyaAllah Usrah STAR66 sesi ke 21 akan diadakan pada hari Ahad 14 April 2013. Tempat usrah sesi ke 21 ini akan diberitahu kelak.

Thursday, January 31, 2013

Masjid Al-Ghufran - Pandu Arah

Masjid Al-Ghufran

Masjid Al-Ghufran dilihat dari Lebuhraya Damansara-Puchong

Pelan Lokasi

Masjid Al-Ghufran terletak di tepi Lebuhraya Damansara-Puchong bertentangan dengan pusat membeli belah The Curve, Ikano Power Centre, IKEA dan Tesco.





Pandu Arah

Berikut adalah pandu arah ke Masjid Al-Ghufran untuk Usrah STAR66 Sesi ke 20. Sila klik

Dari Kelana Jaya/Subang Jaya/Federal Highway melalui Lebuhraya Damansara Puchong

Dari Federal Highway melalui Jalan Universiti

Dari Sg Buloh/Kepong/Selayang melalui Lebuhraya Damansara Puchong

Dari Jalan Duta melalui Penchala Tunnel

Selamat memandu dan semoga sampai ke Masjid Al-Ghufran dengan selamat dan mudah.


Dewan Balqis

Dewan Balqis ini terletak di aras B2 (dua tingkat di bawah aras Dewan Solat Utama) ia-itu sama aras dengan Cafe' Al-Ghufran.  Dewan ini terletak di sebelah kiri Cafe berhampiran laluan utama ke Cafe.

Tempat Letak Kereta

Ada dua tempat letak kereta di Masjid Al-Ghufran:
  1. Satu tempat kereta sama aras dengan Dewan Solat Utama
  2. Satu tempat kereta di bawah aras Cafe' Al-Ghufran



Monday, January 21, 2013

Usrah STAR66 sesi ke 19 - Laporan

AlhamdulilLah Usrah STAR66 sesi ke 19 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 19 Januari 2013 di rumah Sdra Muhamad Fuad di Alam Sari, Kajang, Selangor.

Usrah sesi ini diketuai oleh Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib.

Seramai 14 orang telah menyertai Usrah kali ini:
  1. Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib, isteri dan anak-anak
  2.  Sdra Ahmad Darus dan isteri  
  3. Sdra Hamdan Nor dan isteri
  4. Sdra Che Yusoff dan isteri
  5. Sdra Ibrahim Mohamed dan isteri
  6. Sdra Ahmad Puzi dan isteri
  7. Sdra Rusli Mohd
  8. Sdra Hamid Shafie
Sesi ini dimulakan dengan pencerahan oleh Sdra Muhamad Fuad pentingnya Qur'an dalam kehidupan kita.

Qur'an adalah cara Allah berkomunikasi dengan kita. Sebagai makhlokNya kita perlulah mematuhi perintahNya dan menjauhi laranganNya.


Selepas itu semua peserta lelaki dan dua peserta wanita telah mengambil peluang untuk membaca Surah 89 Al Fajr.




Perbincangan kemudian diadakan untuk memahami isi kandungannya. Maksud Surah ini boleh dibahagikan kepada empat perbincangan:


Dalam bahagian pertama, Allah telah menyuruh kita memerhatikan dan mengambil iktibar dari apa yang telah Allah lakukan kepada kaun-kaum dahulu yang mengingkari Allah, ia-itu kaum Aad, Thamud dan Fir'aun. Semua kaum ini telah ditimpakan Allah dengan berbagai-bagai azab kerana mereka telah melakukan banyak kerosakan dan bencana di negeri-negeri mereka.



Dalam bahagian ke dua Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji.

Ada manusia yang diuji dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya. Sesetengah mereka ini merasa bahawa Allah telah memuliakan mereka dan menjadikan mereka lupa bahawa mereka ada tanggungjawab besar  dengan pengurniaan itu. Disamping menggunakannya untuk keperluan sendiri, mereka juga bertanggungjawab membantu ahli-ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.

Ada juga manusia yang diuji oleh Allah dengan disempitkan rezekinya. Sesetengan mereka ini akan merepek dengan berkata: Tuhanku telah menghina aku! Mereka sepatutnya bersabar dan redha dengan ujian Allah ini.

Dalam bahagian ke tiga Allah menyatakan ramai manusia yang:

a. Tidak memuliakan anak yatim
b. Tidak memberi makanan kepada orang miskin
c. Makan harta pusaka dengan tidak mengira halal haramnya
d. Sayangkan harta dengan tamak haloba

Allah melarang kita dari bersikap begini. Apabila bumi dihancurkan nanti dan neraka Jahannam diperlihatkan, pada saat itu manusia akan menyesal, tetapi mereka sudah terlambat!

Dalam bahagian ke empat, Allah menyeru "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang tenang - tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya - untuk kembali kepada Allah dalam keadaan berpuas hati dan diredhai Allah dan masuk ke dalam syurga Allah.

Jiwa yang tenang ini termasuklah mereka yang tidak melakukan empat perkara yang dinyatakan dalam bahagian ke tiga di atas; sebaliknya jiwa-jiwa ini memuliakan anay yatim, memberi makan orang miskin, membahagikan harta pusaka mengikut hukum syarak dan membelanjakan harta mereka kerana Allah. 

Hadis ke 13 dari Hadis 40 Imam An-Nawawi tidak sempat dibincangkan.

Selepas tamat perbincangan tuan rumah telah menjemput semua peserta untuk menjamu selera juadah-juadah yang disediakan.



.



Majlis diakhir dengan solat Zuhur diimami oleh Sdra Muhamad Fuad.








JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Muhamad Fuad dan Puan Aminah kerana telah sudi menjadi tuan rumah Usrah STAR66 Sesi ke 19 ini.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Muhamad Fuad kerana telah terus menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ke 19 ini.

InsyaAllah Usrah STAR66 sesi ke 20 akan diadakan pada hari Sabtu 16 Februari 2013. Tempat usrah sesi ke 20 ini akan diberitahu kelak.


Saturday, January 12, 2013

Tanam pinang rapat-rapat - Jom Usrah!



Tanam pinang rapat-rapat
     Biar senang puyuh berlari
Mari kita berusrah di rumah Muhamad Fuad
     Kita ikut Sunnah Nabi

Tepok amai-amai
     Belalang kupu-kupu
Mari datang ramai-ramai
     Ikatan persaudaraan sepadu

Susu lemak manis
     Santan kelapa muda
Datang dengan senyuman manis
     Balik pula dengan gembira

Enjit semut-semut
     Siapa sakit naik atas
          Dah jemu gigit jari
Jangan takut atau kecut
     Tak perlu baca, tak perlu ulas
          Kehadiran mu sudah mencukupi

Sunday, December 30, 2012

Usrah STAR66 Sesi ke 18 - Laporan

AlhamdulilLah Usrah STAR66 sesi ke 18 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 29 Disember 2012 di rumah Sdra Ahmad Darus di Sunway Rahman Putra, Sg Buloh, Selangor.

Usrah sesi ini diketuai oleh Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib.

Seramai 17 orang telah menyertai Usrah kali ini:
  1. Sdra Ahmad Darus dan isteri sebagai tuan rumah
  2. Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib
  3. Sdra Hamdan Nor dan isteri
  4. Sdra Yuzer Yusoff dan isteri
  5. Sdra Che Yusoff dan isteri
  6. Sdra Kamaruddin Salleh dan isteri
  7. Sdra Ahmad Puzi dan isteri
  8. Sdra Rusli Mohd
  9. Sdra Abdul Razak Mohd Noor
  10. Sdra Shamsuddin Mukhtaram
  11. Sdra Hamzah Ibrahim (sempat bersama selepas usrah sahaja)
Dalam sesi ini ramai peserta-peserta telah mengambil peluang untuk membaca Surah 90 Al Balad dan membincangkan Hadis ke 12 dari Hadis 40 Imam An-Nawawi.

Berikut adalah sedikit gambar-gambar sepanjang perjalanan usrah tersebut.

Tuan rumah penuh konsentrasi
Naqib menyemak bacaan


Naqib, tuan rumah dan Sdra Hamdan, tuan rumah sesi ke 17

Peserta terbaru, Sdra Abdul Razak,
bersama dua sahabat baik
Yuzer Yusoff dan Che Yusoff

Sdra Kamaruddin dan Sdra Rusli


Qari kita, Sdra Shamsuddin, membawa tiga jenis taranum...


Para isteri juga mengambil bahagian


Para isteri memberikan 
sepenuh perhatian kepada bacaan


Segala hidangan adalah 'home-cooked' oleh Puan Roslina

Semua hidangan sedap-sedap belaka...........

Peserta-peserta lelaki di meja panjang

Para isteri di meja bulat


JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Ahmad Darus dan Puan Roslina kerana telah sudi menjadi tuan rumah Usrah STAR66 Sesi ke 18 ini.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Muhamad Fuad kerana telah terus menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ke 18 ini.

InsyaAllah Usrah STAR66 sesi ke 19 akan diadakan pada hari Ahad 20 Januari 2013. Tempat usrah sesi ke 19 ini akan diberitahu kelak.