Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Aku bersaksi, bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah. Semoga kesejahteraan dan keselamatan senantiasa tercurah kepada Nabi Muhammad s.a.w., ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

"Maha suci Engkau, sesungguhnya kami tidak mengetahui melainkan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." -Al-Baqarah 2: 32

Sunday, November 11, 2012

Usrah STAR66 Sesi ke 17 - Laporan


Berbagai gaya Naqib kita
memandu perjalanan Usrah. 
 AlhamdulilLah Usrah STAR66 sesi ke 17 telah berjalan lancar pada hari Sabtu 10 November 2012 di rumah Sdra Hamdan Nor di Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor.

Usrah sesi ini diketuai oleh Sdra Muhamad Fuad sebagai Naqib.

Dalam sesi ini ramai peserta-peserta telah mengambil peluang untuk membaca Surah 91 Asy-Syams dan  membincangkan Hadis ke 11 dari Hadis 40 Imam An-Nawawi.

Berikut adalah sedikit gambar-gambar sepanjang perjalanan usrah tersebut.

Seorang peserta membaca Surah Asy-Syams sementara peserta-peserta lain mengikuti bacaan dan Naqib menyemak bacaan peserta. 

Peserta-peserta wanita juga mengikuti bacaan.

Qari kita yang tidak asing lagi,
Sdra Samsuddin Mukhtaram, 
memperdengarkan bacaannya



Sdra Hamid Shafie bertanyakan sesuatu
kepada Naqib.

Sdra Azlan Abdullah sedang memperdengarkan
bacaannya.

Sdra Kamaruddin Salleh adalah peserta terakhir
memperdengarkan bacaannya.

Dipenghujung sesi Sdra Hamdan 
menghidangkan peserta-peserta Usrah dengan
jamuan nasi kerabu istimewa

Puan Noorul Ain gembira melayan 
peserta-peserta wanita.

Buah tin dari Turki, pisang, kueh-mueh 
juga dihidangkan.

Tidak ketinggalan minuman sejuk dan panas.

























































































































JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Hamdan Nor dan Puan Noorul Ain kerana telah sudi menjadi tuan rumah Usrah STAR66 Sesi ke 17 ini.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada Sdra Muhamad Fuad kerana telah terus menjadi Naqib Usrah.

JazakalLahu Khairan Kathira kepada semua para peserta yang telah menghadirkan diri di sesi ke 17 ini.

InsyaAllah Usrah STAR66 sesi ke 18 akan diadakan pada hari Sabtu 29 Disember 2012. Tempat usrah sesi ke 18 ini akan diberitahu kelak.


Friday, November 2, 2012

Kewajipan Umat Islam Terhadap Al-Qur'an

Disusun oleh Ahmad Puzi bin Rais 17 Zulhijjah 1433 (2 November 2012)

Kita sedia maklum bahawa tujuan Al-Qur’an diturunkan Allah s.w.t. bukan sekadar untuk dibaca tetapi ialah untuk dijadikan pedoman hidup manusia.  Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah 2:185 maksudnya:

"....  bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. ..." 

Oleh sebab itu, setiap umat Islam dipertanggungjawabkan lima kewajiban terhadap Al-Qur’an, ia-itu tersebut:

1. Beriman Kepada Al-Qur'an

Umat Islam wajib beriman bahawa Al-Qur'an adalah himpunan wahyu Allah s.w.t. yang diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan perantaraan malaikat Jibril a.s., selama 23 tahun (13 tahun ketika baginda berada di Mekah dan 10 tahun ketika baginda berada di Madinah).

Umat Islam wajib mengimani dan menyakini dengan keimanan yang kuat dan keyakinan yang penuh di dalam hatinya, tersemat di dalam jiwanya dan tidak berbelah-bagi keyakinan bahawa kesejahteraan umat hanya dicapai apabila mengikuti ajaran al-Quran dan as-Sunnah sepenuhnya.

Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah mengistiharkan sejak dahulu dengan katanya:

“Sesungguhnya Allah telah muliakan kita dengan Islam.  Seandainya kita memilih selain Islam untuk memperolehi kemuliaan pastilah Allah akan menghinakan kita”. (Al-Hakim)

Sabda RasululLah s.a.w.:

“Sesungguhnya Allah meninggikan suatu kaum dengan sebab berpegang dengan Kitab ini dan merendahkan yang lain”. (Muslim)

Allah s.w.t. mengangkat orang yang beriman dengan Kitab dan merendahkan orang yang menolak dan mengengkarinya.  Allah telah mengangkat kedudukan para sahabat setelah mereka menerima ajaran al-Quran ke atas mereka dan merendahkan musyrikin setelah mereka enggan menerimanya.

2. Membaca (Tilawah) Al-Qur'an

Membaca Al-Qur'an dikira sebagai ibadah walaupun orang yang membacanya tidak memahami kandungan yang dibacanya.  Keistimewaan ini tidak terdapat pada kitab-kitab yang lain.  Oleh itu umat Islam wajib belajar Ilmu Tajwid kerana ilmu tersebut akan membimbing mereka agar dapat membaca Al-Qur'an dengan betul dan tepat.

Umat Islam digalakkan agar selalu membaca Al-Qur'an kerana Al-Qur'an kelak akan dapat memberi pertolongan (syafa'at) di Hari Kiamat. RasululLah s.a.w. bersabda:

"Daripada Abu Umamah r.a. katanya: Aku mendengar RasululLah s.a.w. bersabda.  Bacalah Al-Qur'an, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai penolong kepada orang yang membacanya." (Muslim)

Kita tidak sepatutnya enggan membaca Al-Qur'an hanya kerana kurang lancar dan merasa payah membacanya.  Bagi mereka yang bersungguh-sungguh membacanya walau pun merasa kepayahan membacanya akan mendapat ganjaran berganda dari sisi Allah sebagaimana yang dijelaskan oleh RasululLah s.a.w.:

"Dari Aisyah r.a. katanya: Telah bersabda RasululLah s.a.w.  Orang yang membaca Al-Qur'an , sedangkan dia mahir (fasih atau lancar) membacanya, maka ia bersama malaikat al-Kiram al-Bararah.  Dan orang yang membaca Al-Qur'an, sedangkan dia tidak lancar membacanya dan berasa susah membacanya, maka untuknya ganjaran dua pahala." (Bukhari dan Muslim)

Al-Qur'an wajib dibaca sebab tanpa dibaca adalah mustahil untuk mengerti maknanya, apa lagi untuk dapat mengamalkannya dan menyampaikannya.

3. Memahami Al-Qur'an

Memahami Al-Qur’an wajib untuk setiap umat Islam kerana, seperti yang telah dijelaskan di atas, tujuan Al-Qur'an diturunkan oleh Allah s.w.t. bukanlah sekadar untuk dibaca, tetapi adalah untuk dijadikan sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita.  Ia adalah pedoman hidup yang paling lengkap. Adalah mustahil Al-Qur'an dapat dijadikan pembimbing hidup kita jika kita sendiri tidak memahami kandungannya.  Apabila kita memahaminya, tentulah kita akan mudah dapat mengamalkan isi kandungannya.

Atas dasar inilah maka berusaha memahami Tafsir Al-Qur'an adalah menjadi satu kemestian ke atas setiap umat Islam.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Saad 38:29, maksudnya:

“(Al-Qur'an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), - Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfa'atnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringan mengambil i'tibar."

Mentadabbur mana-mana ayat Al-Qur'an akan membantu untuk memahami dan mendalami tujuan Allah yang sebenar sehingga menyedarkan akal dan hati tentang keagungan dan kebesaran Allah.  Makna tadabbur Al-Qur’an adalah berfikir dan memperhatikan ayat-ayat Al-Qur’an untuk memahaminya, mengetahui makna-maknanya, hikmah-hikmahnya, dan maksudnya.

4. Mengamalkan Al-Qur'an

Setelah memahami isi kandungan Al-Qur'an melalui tafsiran dan tadabburnya yang betul dan muktamad, maka umat Islam wajib mengamalkannya dalam kehidupannya seharian.

Seorang yang memahami dan mengerti sesuatu kebaikan tetapi tidak beramal dengannya adalah ibarat pokok yang tidak berbuah atau awan yang tidak mendatangkan hujan atau bagaikan lebah yang tidak menghasilkan madu.  Allah s.w.t. sangat murka kepada Yahudi yang memahami dan mengetahui ajaran Allah yang terkandung di dalam Taurat, tetapi mereka enggan mematuhinya atau mengamalkannya.  Allah s.w.t. membuat perumpamaan yang sangat tepat tentang sikap Yahudi tersebut di dalam Surah Al-Jumu'ah 62:5, maksudnya:

"... bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungan dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedangkan ia tidak mengetahui kandungannya).  Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah pertunjuk kepada kaum yang zalim."

Al-Qur’an ada sebagai pedoman hidup manusia untuk diamalkan isinya, supaya manusia dapat menjalani kehidupan ini dengan baik dan yang diredhai Allah s.w.t.  Umat Islam wajib melaksanakan tuntutan-tuntutan Allah di dalam Al-Qur'an di dalam kehidupan seharian, baik tuntutan itu dalam bentuk suruhan atau pun larangan.

Hukum-hakam yang terkandung dalam al-Qur'an terbahagi kepada dua kategori;
  • Hukum-hakam yang berkait dengan setiap individu; iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat, puasa, haji, taubat, istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar, memenuhi janji, amanah) dan sebagainya.
  • Hukum-hakam yang berkait dengan masyarakat atau sosial; iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan hal-hal yang menjadi kewajipan negara seperti menegakkan undang-undang jenayah Islam (hudud), jihad dan sebagainya. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya. Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.
5. Menyampaikan (Da’wah/Tabligh) Al-Qur'an

Al-Qur'an adalah kebenaran (al-haq).  Kebenaran ini tidak cukup sekadar diyakini dan diamalkan untuk diri sendiri sahaja, tetapi mestilah juga disampaikan kepada orang lain.

Malah manusia akan terus berada di dalam kerugian jika mereka tidak menyampaikan kebenaran kepada orang lain. Hakikat ini tertera di dalam firman Allah s.w.t dalam Surah Al-'Asr 103:1-3, maksudnya:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Sebaliknya kebenaran dan kebaikan yang disampaikan kepada orang lain dan mereka pula beramal dengannya (dan menyampaikannya kepada orang lain pula) secara berterusan akan menjadi ganjaran pahala yang terus mengalir.  Bahkan apabila kita sudah meninggal sekalipun, kebaikan itu akan terus mengalir seperti air zamzam yang tak pernah berhenti memancar.

Masih ramai umat Islam yang belum mengetahui kewajipan-kewajipan ini.  Mereka adalah saudara se agama kita. Jangan biarkan mereka dalam kegelapan.   Sebagai sesama muslim tentulah kita wajib memberitahu mereka.


Sumber:
  1. 'Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur'an', Darul Fikir, Kuala Lumpur, 2001
  2. 'Aqidah Ahl Al Sunnah Wa Al Jama'ah Jilid 1', Dr. Abdullah Yasin, Al-Furqan Enterprise, Sungei Besi, Kuala Lumpur, 2003
  3. Zadud-duat
  4. AhmadHuzaifahFauzi